PANEL Kajian Akidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memutuskan amalan menyambut Hari Valentine adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.
Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Amalan merayakan Valentine Day tidak pernah dianjurkan Islam. Roh perayaan itu mempunyai unsur Kristian, amalannya bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan Islam.”
Hakikatnya larangan bagi meraikan sambutan Hari Valentine berpaksikan kepada dua alasan utama iaitu pertama, ia dilarang nas syarak dan kedua ia mampu mendatangkan kesan kehancuran yang besar kepada agama, bangsa dan negara.
Menurut Rizki Ridyasmara dalam bukunya, Valentine Day, Natal, Happy New Year, April Mop, Hallowen: So What?, sejarawan masih tiada kata sepakat berkenaan peristiwa apa sebenarnya menjadikan Hari Valentine terus diingati.
Bagaimanapun, berdasarkan sejarah, ada empat pendapat popular berkaitan Hari Valentine.
Pendapat
pertama mengaitkan Hari Valentine dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia iaitu upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari.
Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta (Queen of Feverish Love) bernama Juno Februata. Pada hari itu pemuda Rom memilih nama gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak, kemudian mereka mencabut nama daripada kotak terbabit secara rawak.
Nama gadis yang tertera akan menjadi pasangan dan objek hiburan seksnya selama setahun. Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan Dewa Lupercalia daripada gangguan serigala dengan menyembelih anjing dan kambing. Kemudian mereka memilih dua pemuda Rom dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang itu ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu. Selepas itu diadakan perarakan besar-besaran diketuai dua pemuda itu yang memukul orang ramai di laluan dengan kulit binatang dan wanita berebut untuk menerima pukulan kerana beranggapan ia akan menambahkan kesuburan mereka.
Pendapat
kedua mengaitkannya dengan kematian paderi St Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Peristiwa ini yang sering dikaitkan dengan kisah pengorbanan besar demi keagungan cintanya terhadap agama sementara versi lain, cinta kepada seorang gadis.
Pendapat
ketiga, ia dirayakan bersempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol. St Valentine ialah individu yang memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam itu.
Disebabkan sumbangan itu, St Valentine dianggap kekasih rakyat dan 14 Februari 1492 adalah tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol yang dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.
Pendapat
keempat pula berdasarkan apa yang dinukilkan Geoffrey Chaucer, penyair Inggeris dalam puisinya. Sambutan Hari Valentine bersempena dengan sifat burung yang musim mengawannya pada 14 Februari.
Berdasarkan versi itu, jelaslah tiada hubungan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dengan budaya kita mahupun agama bagi umat Islam. Malahan sudah terang lagi bersuluh mempunyai kaitan dalam memperlekehkan akidah Islam dan orang Islam sendiri.
Cetek ilmu punca persoal larangan rai Hari Kekasih
Pengharaman sambutan supaya Islam ada identiti tersendiri, berbeza dengan umat lain
MENZAHIRKAN kasih sayang kepada kekasih perlu ada batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang antara dua jantina berbeza tidak boleh hanya dengan janji manis di bibir tetapi perlu diikat akad yang kukuh bagi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi.
Ikatan perkahwinan bukan bertujuan menyusahkan hubungan sesama manusia kerana matlamatnya menjadikan masyarakat stabil, aman dan harmoni. Keindahan menzahirkan kasih sayang itulah dianjurkan Islam dan disemai setiap hari tanpa perlu menunggu satu hari dalam setahun.
Apatah lagi, jika jelas kesan daripada sambutan itu menjurus kepada perkara tidak baik apabila ada pihak melakukan perbuatan menyalahi syarak semata-mata untuk membuktikan apa yang dikatakan ‘kasih sayang’.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata amat menyedihkan kerana wujud golongan yang tertekan apabila pihak berkuasa melarang sambutan Hari Kekasih atau Hari Valentine. Katanya, disebabkan cetek maklumat dan ingin memprotes tanpa mendengar penjelasan mengenai perkara berkenaan menyebabkan peringatan supaya masyarakat Islam tidak meraikan sambutan itu ibarat mencurah air ke daun keladi.
“Seperti yang dinyatakan Ibn Khaldun, kita ibarat masyarakat madani yang bergaul dengan semua orang dan mengimport budaya luar untuk diaplikasi dalam cara hidup kita. Perkara ini berlaku disebabkan cetek ilmu dan apabila diberi penjelasan, tak mahu dengar atau fahami. Kesedihan ini meruntun hati kerana berbuih mulut menasihat tetapi tidak memberi kesan,” katanya pada program Bicarawara dan Pelancaran Kempen Awasi Jerat Valentine’s Day 2011 di Putrajaya.
Hadir sama pada seminar bertujuan menyedarkan umat Islam hakikat sebenar Hari Valentine yang memang jauh daripada ajaran serta budaya Islam ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM, Saimah Mokhtar.
Wan Mohamad berkata, Hari Valentine tidak boleh disamakan dengan hari sambutan diraikan secara sejagat seperti Hari Ibu, Hari Bapa atau Hari Kanak-Kanak Sedunia kerana ia tidak dikaitkan dengan peristiwa khusus dan pengaruh agama. Oleh itu katanya,
niat tidak menghalalkan cara dan demi menjaga akidah umat Islam adalah lebih baik jika tarikh 14 Februari dinafikan sebagai sambutan Hari Kekasih dan diganti konsep kasih sayang sepanjang masa yang dianjurkan Islam.
“Mungkin ada kata mereka tidak berniat meraikan Valentine tetapi persoalannya kenapa perlu memilih 14 Februari. Oleh itu, niat tidak menghalalkan cara. Kenapa tidak pilih 31 Ogos atau hari lain? Inilah yang ingin kita fahamkan masyarakat terutama remaja kerana untuk menunjukkan kasih sayang tidak perlu hari khusus, pilihlah hari lain untuk tunjukkan kasih sayang tetapi bukan 14 Februari, jika benar mereka kata tiada niat terjebak dengan sambutan Hari Valentine,” katanya.
Katanya, usaha JAKIM memberi pengetahuan, kesedaran serta bimbingan supaya masyarakat tidak terbabit dengan keghairahan menyambut Hari Valentine mungkin tidak mampu menghalang sambutannya, tetapi perjuangan membersihkan amalan bukan Islami perlu diteruskan. Beliau berkata, amalan dan kebiasaan di sebalik pemberian hadiah atau kata-kata pada Hari Valentine mampu menghancurkan akidah Islam yang suci kerana setiap perbuatan mempunyai simbolik serta tersirat sejuta cerita bercanggah dengan pegangan agama dan adat.
Pengharaman serta larangan bukan kerana ingin menghalang keseronokan atau dengki dengan trend zaman moden tetapi berlandaskan apa yang dinyatakan dalam al-Quran dan sunnah yang menjadi panduan umat manusia bagi mengecapi keindahan hidup di dunia dan akhirat.
Islam sangat prihatin serta menginginkan umatnya mempunyai identiti tersendiri dan berbeza dengan umat lain. Penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak tidak boleh mencampur aduk akidah serta amalan ibadat agama lain.
Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat dan secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (Surah al-Kafirun, ayat 1-6)
Hukum Islam jelas melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa mengamalkan perkara yang bukan daripada amalan kami, maka ia akan ditolak.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Petikan :
BHarian 12/02/2011 dan
BHarian 12/02/2011