Sengaja bersugi atau memberus gigi dalam berpuasa dengan benda basah atau kering tidaklah membatalkan puasa. Tiada ada perselisihan para ulama dalam masalah ini. Namun menurut Imam Syafei memakruhkan memberus gigi setelah tergelincir matahari dengan tujuan untuk menghilangkan bau mulut.
Bagaimana pula jika kita sudah terbiasa memasukkan air ke dalam hidung ketika berwudhuk? Begitu juga, ketika mandi wajib selepas masuk waktu subuh kerana berjimak di malam sebelumnya, kita dikehendakki meratakan air ke seluruh kulit. Bagaimana kita hendak meratakan air ke dalam cuping telinga? Dikhuatiri air akan termasuk ke dalam telinga.?
Memasukkan air ke dalam hidung ketika berwuduk pada bulan Ramadhan tidaklah membatalkan puasa, kerana memasukkan air disini bukanlah menyedutnya hingga ke dalam tetapi cukup saja dengan membersihkan rongga hidung tersebut. Begitu juga dengan membasuh telinga, cukup membasuh diluarnya saja tidaklah sampai memasukkan air ke dalam rongga telinga bagi menghilangkan dahaga.
Suami isteri berjimak semasa waktu azan subuh dibulan puasa dan kemudian mandi wajib bolehkah mereka berpuasa, sedang apa yang saya tahu masa waktu imsak kita dikehendaki berhenti makan dan membuat perkara membatalkan puasa juga selepas azan subuh maksudnya puasa itu bermula?
Apabila seseorang menyangka bahawa fajar akan terbit lambat lagi, lalu bersetubuh. Kemudian dalam bersetubuh itu fajar pun keluar atau terdengar suara azan, maka wajiblah ia menghentikan persetubuhan itu dengan segera (serta merta) tidak boleh diteruskan lagi. Jika ia meneruskannya bererti ia telah merosakkan puasanya dengan bersetubuh yang disengajakan. Demikian pulalah dengan orang yang minum dan makan pada waktu itu.
Apakah hukumnya sekiranya apabila di dalam bulan ramadhan, seseorang itu tidur di malam hari dan apabila terjaga di waktu pagi (dah terbit matahari) dan dah mula berpuasa, di dapati air mani terkeluar dari kemaluannya Bolehkah dia meneruskan puasanya dan sahkah puasanya itu?
Jika kita bermimpi di malam bulan Ramadhan, dan baru tersedar ketika bangun pagi, maka segeralah mandi wajib, kemudian teruskanlah berpuasa. Sebab berjimak ataupun bermimpi pada malam hari bulan Ramadhan tidak membatalkan puasa. Bahkan setengah ulama berpendapat bermimpi pada siang Ramadhan pun tidak membatalkan puasa namun ia harus segera mandi wajib.
Saya telah diserang penyakit gatal-gatal di badan. Apabila ke kelinik untuk mendapatkan rawatan, doktor telah mengenakan suntikan kepada saya. Apakah puasa saya dikira batal kerana suntikan itu?
Sebahagian ulama mengatakan bahawa memasukkan ubat dengan suntikan ketika siang bulan Ramadhan tidak membatalkan puasa. Diantara yang menyokong pendapat ini iaitu Ibn Hazm . Namun setengah ulama yang lain membatalkannya.
Adakah puasa difardhukan ke atas umat yang dahulu. Kalau difardhukan ke atas mereka, pada bulan apakah diwajibkan berpuasa?
Puasa telah difardhukan ke atas umat dahulu dalam bulan Ramadhan sebagaimana difardhukan ke atas umat Nabi Muhammad s.a.w.
Bagaimana hendak diketahui awal Ramadhan?
Diketahui Ramadhan dengan cukup Syaaban 30 hari atau dengan nampak anak bulan Ramadhan pada malam 30 syaaban atau dengan perisytiharan pihak Kerajaan.
Bilakah yang dikatakan Hari Syak ?
Hari Syak ialah hari 30 syaaban dengan syarat:
1. Pada malam 30 Syaaban itu cuaca terang:
2. Orang fasik mengatakan dia nampak anak bulan.
Adakah harus berpuasa di Hari Syak ?
Mengikut pendapat yang kuat tidak harus berpuasa di hari tersebut kecuali puasa qada’ dan nazar. Bagi mereka yang sentiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis maka harus baginya berpuasa.
Bagaimana hendak diketahui awal Syawal?
Untuk mengetahui awal Syawal sama seperti awal Ramadhan (sila rujuk soalan 7 di atas).
Bolehkah kita berpuasa dan berhari raya mengikut negeri Mekah dan negeri yang berdekatan, kerana mereka nampak anak bulan?
Tidak harus ikut berpuasa kecuali negeri-negeri itu berada dalam satu matla’
Saya berpuasa di Mekah lebih awal satu hari dari mereka berpuasa di Malaysia . Apabila saya balik, puasa saya sudah cukup 30 hari dan orang Malaysia masih berpuasa lagi. Adakah boleh saya berbuka dan berhari raya?
Mengikut khaul yang lebih betul tidak boleh berbuka dan berhari raya, hendaklah tunggu bersama berbuka dan berhari raya dengan penduduk Malaysia.
Kalau kita ke tempat yang lebih awal berpuasa mereka berhari raya kita belum cukup lagi puasa. Adakah boleh berbuka?
Wajib berbuka puasa dan berhari raya mengikut negeri berkenaan. Bagi mereka yang tidak cukup puasanya sebanyak 29 hari maka wajib mengqada’kannya.
Bagaimana cara sembahyang dan berpuasa bagi negeri yang tidak ada siang dan malam?
Mereka hendaklah berpuasa dan bersembahyang mengikut negeri yang berhampiran dengannya, yang mempunyai lima waktu sembahyang ataupun mengikut waktu Mekah.
Apakah hukum orang tua yang tidak boleh berpuasa kerana tua atau orang tidak terdaya berpuasa kerana sakit berpanjangan?
Boleh berbuka puasa dan hendaklah memberi fidyah secupak beras (675 gram); bagi setiap hari yang ditinggalkan dan tidak dikena qada’ ke atasnya.
Adakah boleh berbuka puasa bagi mereka yang lapar dan dahaga kerana bekerja dan digantikan dengan beras sebagaimana dibenarkan kepada orang tua?
Tidak harus berbuka puasa bagi mereka yang lapar dan dahaga kerana bekerja.
Bagaimanakah lafaz niat puasa, adakah wajib berniat dengan fardhu Ramadhan atau puasa Ramadhan sahaja?
Sebaik-baik niat dengan mengingat “Aku berpuasa esok hari kerana menunaikan fardhu Ramadhan”. Walaubagaimanapun sah dengan niat, aku puasa Ramadhan sahaja.
Pada malam Hari Syak seseorang berniat puasa “sekiranya esok 1 Ramadhan aku berpuasa. Adakah sah puasa tersebut, sekiranya esok jatuh 1 Ramadhan”?
Tidak sah puasa kerana di antara syarat sah puasa ialah dengan niat yakin dan tepat.
Adakah sah puasa seorang yang dalam haid dan nifas berniat puasa Ramadhan pada malam hari pada kebiasaannya haid dan nifasnya suci sebelum Subuh pada hari tersebut?
Sah niatnya sekiranya suci/nifasnya sebelum fajar.
Adakah sah puasa seseorang yang syak niatnya di waktu malam?
Tidak sah kecuali dia teringat yang dia berniat puasa pada malam tersebut, sebelum maghrib.
Adakah sah seorang yang syak niat puasanya pada hari tersebut selepas berbuka?
Sah puasa tersebut.
Seseorang yang berniat puasa pada malam hari kemudian dia membatalkan niatnya sebelum fajar. Adakah sah puasanya pada hari esok?
Tidak sah.
Adakah sah puasa seseorang yang berbuka dengan tidak yakin/berat sangka sudah masuk waktu?
Tidak sah.
Adakah sah puasa bagi orang yang tidak mandi hadas besar?
Sah puasa.
Adakah batal puasa bagi orang yang berpuasa memasukkan ubat ke dalam matanya?
Sah puasanya kerana mata itu bukan anggota rongga walaupun terasa di tekak.
Adakah batal puasa seseorang yang berpuasa menyuntik dengan ubat yang mengenyangkan?
Batal puasa.
Adakah batal puasa apabila termasuk air ke dalam rongga ketika berkumur-kumur di masa wuduk?
Tidak batal puasa kecuali melampaui batas ataupun melebihi tiga kali (kali ke empat).
Orang yang berpuasa merasai tersangat dahaga kemudian memasukkan air batu ke dalam mulutnya untuk mengurangkan dahaga lalu tertelan. Adakah batal puasanya?
Tidak batal puasa.
Adakah batal puasa bagi orang gila sekejap?
Batal puasa.
Adakah sah puasa bagi orang yang pitam?
Sah puasa kecuali pitam yang sepanjang hari iaitu terbit fajar hingga terbenam matahari.
Adakah sah puasa bagi mereka yang tertidur semasa sahur sehingga waktu maghrib?
Sah puasa.
Adakah wajib kifarat bagi orang bermukim bersetubuh selepas membatalkan puasa atau orang musafir berbuka puasa dengan bersetubuh?
Tidak wajib membayar kifarat bagi orang bersetubuh begitu juga bagi orang musafir yang berbuka puasa dengan bersetubuh.
Apakah kifarat bersetubuh dengan sengaja pada bulan puasa?
Kifarat bersetubuh hendaklah memerdekakan seorang hamba Islam yang sempurna dari kecacatan, kalau tidak berkuasa hendaklah berpuasa 2 bulan berturut-turut, jika tidak berkuasa hendaklah beri makan kepada 60 orang miskin setiap seorang secupak. Cara membayar kifarat ini hendaklah mengikut tertib seperti di atas.
Kalau seseorang membatalkan puasanya dengan bersetubuh kemudian mati sebelum maghrib. Apakah hukumnya?
Hukumnya adalah berdosa dan tidak dikenakan kifarat ke atasnya dan keluarganya.
Kifarat bersetubuh dikenakan kepada siapa (suami atau isteri)?
Kifarat bersetubuh dikenakan ke atas suami sahaja.
Adakah batal puasa seseorang yang terkeluar mani dengan sebab khayalan?
Sekiranya bila dia berkhayal biasa keluar mani maka batal puasanya, kalau biasanya dia berkhayal tidak keluar mani maka tidak batal puasanya.
Adakah boleh diqada’ sembahyang atau diberi fidyah kepada si mati yang tak bersembahyang?
Yang muktamad tidak boleh diqada’ dan tidak boleh diberi fidyah tetapi Imam Subki dari Ulama’ yang bermazhab dengan Mazhab Syafie mengatakan boleh diqada’ dan mengikut Mazhab Abu Hanifah boleh diberi fidyah sebagaimana fidyah mereka yang meninggalkan puasa, kita boleh bertaalik kepada dua pendapat tadi.
Adakah wajib berimsak dari perkara-perkara yang membatalkan puasa, beberapa minit sebelum subuh?
Tidak wajib berimsak tetapi adalah sunat menjauhi dari makan/minum dan lainnya sekadar baca surah Mursolat sebelum Subuh lebih kurang dalam enam minit.
Orang yang tidak berpuasa kerana tidak berniat malam dan orang yang membatalkan puasanya, adakah boleh makan/minum dan lainnya?
Wajib mereka berimsak iaitu menahan diri dari makan minum dan perbuatan yang membatal puasa, walaupun mereka tidak berpuasa.
Apakah hukum yang dikenakan kerana berzina atau wathisubhah pada bulan puasa?
Hukumnya batal puasa dan dikenakan kifarat ke atas kedua-duanya sekali (lelaki dan perempuan).
Seorang perempuan putus haid di siang hari adakah wajib dia berimsak?
Sunat berimsak.
Sekiranya seseorang yang membatalkan puasa nazar/qada’ adakah wajib dia berimsak?
Tidak wajib berimsak.
Adakah wajib imsak bagi orang musafir yang berbuka puasa apabila sampai ke tempat tinggalnya (bermastautin / bermukim)?
Mengikut khaul yang lebih betul tidak wajib berimsak.
Adakah perempuan yang haid wajib berimsak?
Perempuan yang haid haram berimsak sebagaimana dia haram bersembahyang.
Kanak-kanak yang tidak berpuasa dan baligh di siang hari, adakah wajib berimsak dan qada’ puasanya?
Tidak wajib berimsak dan tidak wajib qada’.
Seseorang yang keluar dari kampungnya setelah fajar kerana musafir, adakah harus bagi mereka berbuka puasa?
Tidak harus berbuka bahkan wajib disempurnakan puasanya.
Adakah sunat berniat puasa beserta dengan lafaz?
Sunat.
Seseorang yang telah menyediakan makanan untuk makan sahur, kemudian dia terjaga selepas fajar, adakah sah puasanya pada hari itu?
Sah puasa dengan penyediaan sahurnya kerana penyediaan sahur itu dianggap sebagai telah berniat.
Adakah sah puasa orang yang berbuka dengan syak masuk waktu maghrib?
Tidak sah puasanya.
Adakah sah puasa orang yang bersahur yang berat sangkanya, masuk waktu Subuh?
Sah puasanya selagi dia tidak yakin masuk waktu Subuh dan sekiranya yakin, tidak sah puasanya dan diwajibkan qada’.
Adakah sah puasa seseorang yang biasanya apabila melihat bangkai dia muntah, tetapi sengaja dilihatnya?
Tidak sah puasanya tetapi sekiranya tidak sengaja maka tidak batal puasanya.