CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, March 28, 2011

ARTIKEL : Syiah adalah satu mazhab yang hidup atas nostalgia lampau




SYIAH: MAZHAB ATAS NOSTALGIA SEJARAH


Prof Madya Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin







Syiah adalah satu mazhab yang hidup atas ‘nostalgia’ lampau. Muharram adalah salah satu musim golongan Syiah menzahirkan tangisan mereka terhadap sejarah. Isu pembunuhan Saidina Hussain yang sudah berlalu empat belas kurun yang lepas diwarisi secara dendam yang tidak berkesudahan. Ramai yang menjadi mangsa kemarahan itu. Dendam itu bukan sahaja terhadap mereka yang terlibat dalam krisis lampau tersebut, tetapi turut dibabitkan mereka yang selepas itu yang enggan berkongsi tafsiran politik yang sama. Maka, Ahlus Sunnah menjadi sasaran ‘kemarahan warisan’.







Syiah sebenarnya bukan bermula dengan isu pokok dalam Islam. Ia hanya bermula dari sebuah aliran politik atau dalam istilah ‘politik kepartian’ lalu dibina dan dibajai sehingga menjadi dogma agama yang tidak dapat dibuang lagi. Isu-isu yang berkaitan dengan polisi pentadbiran pada zaman Saidina Uthman, diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk membina aliran politik pada zaman tersebut. Hari demi hari, dalam usaha mengukuhkan ‘parti’ dan menambah pengikut maka pelbagai nas-nas mula diberikan tafsiran yang mempunyai kepentingan politik, bahkan diwujudkan nas-nas baru bersifat politik yang sengaja diada-adakan.



Emosi



Ertinya, krisis politik dalam kalangan umat Islam selepas kewafatan Nabi s.a.w telah diwarisi secara emosi dan kekeliruan. Emosi di sini bermaksud isu-isu itu dilihat hanya pada sudut kehendak aliran politik tertentu, atau sentimen tertentu tanpa cuba merongkaikannya atau memahaminya secara holistik. Isu khalifah atau kepimpinan yang cuba dijadikan warisan keluarga Nabi s.a.w (Ahlul Bait) jika diterima akan menafikan sifat Islam sebagai agama yang tidak berteraskan nepotism atau kepentingan keluarga.



Kelayakan manusia dalam kepimpinan menurut nas-nas Islam yang dipegang dalam aliran Ahlus Sunnah wal Jama’ah adalah berasaskan kemampuan (al-quwwah) dan amanah (al-amanah). Sistem warisan dalam kepimpinan seperti yang dipegang oleh Syiah akan mengujudkan kasta aristocrat atau bangsawan yang akhirnya mereka dianggap infallible (maksum) yang tidak boleh dipertikaikan. Ini kerana kelayakan kepimpinan itu bukan kerana penguasaan mereka terhadap konsep kepimpinan sebaliknya secara warisan yang akhirnya mereka bagaikan wakil Tuhan yang menerima wahyu. Lalu mereka sentiasa dianggap benar dapat segala tindakan. Maka dengan itu akan terbengkalailah ruh syura dalam pemilihan kepimpinan.



Kekeliruan



Adapun, di sudut kekeliruan warisan ia membabitkan kepercayaan pengikut Syiah terhadap apa yang diwarisi dari fakta-fakta sejarah. Peristiwa-peristiwa sejarah lampau telah diwarisi turun temurun secara yakin tanpa mereka menyemak ketepatan fakta-fakta tersebut, atau ia sebenarnya hanya desus-desas politik atau tokok-tambah riwayat atas kepentingan politik.



Berasaskan apa yang mereka baca atau warisi mengenai cerita-cerita buruk para sahabat Nabi s.a.w khususnya Abu Bakar, ‘Umar, Uthman, Muawiyah, ‘Amr bin al-‘As atau selain itu, mereka telan bulat-bulat bersama dengan kebencian dan kemarahan ‘politik warisan’. Mereka tidak sempat lagi bertanya sejauh manakah kebenaran fakta tersebut, kerana berita buruk itu adalah berita ‘musuh politik’ mereka. Demikian itu seperti yang kita lihat musuh-musuh politik apabila bertarung antara satu sama lain. Kisah buruk musuh semua ditelan bulat-bulat dan disebarkan seluas-luasnya.



Hal ini bermula sejak penghujung pemerintahan ‘Uthman bin ‘Affan. Fitnah bermula. Dia dituduh menyalahgunakan kuasa, menjaga kepentingan keluarga dan pelbagai lagi. Walaupun sejarah mencatatkan Saidina ‘Uthman telah menjawab semua isu tersebut dengan hebat dan mantap, tetapi jawapan-jawapan itu tidak pernah sampai kepada mereka, kerana mereka enggan membaca atau mengetahui kebenaran musuh politik mereka.



Sebenarnya, Saidina Uthman telah cuba membendung gerakan fitnah yang dilancarkan oleh seorang yahudi bernama Abdullah bin Saba –suatu watak yang diakui kewujudannya oleh sumber Syiah dan Sunni-. Dialah yang mencanangkan kempen menjatuhkan ‘Uthman. Dia campuri isu-isu politiknya dengan pelbagai tafsiran agama, termasuklah kononnya ‘Ali bin Abi Talib ialah warisan Nabi s.a.w dalam kepimpinan politik. Rakyat terpinga-pinga. Mereka tiada pengalaman politik seperti itu.



Khalifah Uthman yang warak itu menulis surat rakyat:



“Aku mengambil pegawai-pegawaiku dengan persetujuanku pada setiap musim. Sejak aku memerintah, aku telah jadikan umat ini dikuasai oleh al-Amr bi al-Ma’ruf dan al-Nahy ‘an al-Munkar. Tidak dikemukakan suatu kes kepadaku atau kepada para pegawaiku melainkan aku berikan kepada mereka hak mereka. Tiada bagiku atau keluargaku hak yang menyentuh rakyat jelata melainkan diberikan kepada rakyat. Penduduk Madinah telah memaklumkan kepadaku bahawa ada golongan yang dicerca secara sembunyi, atau sesiapa sahaja yang mendakwa sesuatu, apabila cukup tempohnya maka ambillah kembali haknya di mana sahaja dia berada, daripadaku atau pegawaiku ataupun dia bersedekahlah (maafkanlah). Sesungguhnya Allah memberi ganjaran kepada orang-orang yang bersedekah (memaafkan)”. Apabila surat ini dibaca di setiap negeri maka rakyat jelata pun menangis dan mereka berkata: “Sesungguhnya telah bergerak di kalangan umat ini kejahatan” (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 4/342. Beirut: Rawai’ al-Turath al-‘Arabi).



Namun oleh kerana reka cerita itu atas kepentingan politik, maka fitnah terus disebarkan. Para sahabat Nabi s.a.w tidak terpengaruh dengan fitnah itu, tetapi ia mempengaruhi mereka yang bukan sahabat yang hidup di zaman tersebut. Sehingga para pemberontak datang ke Madinah, berdialog dengan ‘Uthman sendiri. Segala fitnah telah ‘Uthman jawab dengan kemas. Mereka terbungkam. Para sahabat yang menyaksikan mengakui hujah-hujah ‘Uthman.



Antaranya Uthman berkata:



“Ketahuilah ketika aku dilantik menjadi khalifah, aku adalah orang ‘Arab yang paling banyak mempunyai unta dan kambing. Namun sekarang tidak ada bagiku melainkan dua ekor unta yang aku gunakan untuk menunaikan haji… mereka mengatakan bahawa aku sayangkan kaum keluargaku dan memberikan mereka harta. Sebenarnya, perasaan sayangku kepada kaum keluargaku tidak menyebabkan aku bertindak kepada mereka adalah daripada hartaku sendiri. Aku tidak pernah menghalalkan harta benda orang Islam untuk diriku, tidak juga untuk sesiapa. Demi Allah! Aku tidak pernah mengambil sedikit pun harta atau cukai dari mana-mana wilayah..” (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 4/348).



Apa yang pasti tulisan Syiah tidak akan memetik hal ini. Kerana, ini bukan apa yang mereka mahu.



Riwayat Sejarah



Namun, disebabkan fitnah berterusan, khalifah Uthman dibunuh. Selepas pembunuhan ‘Uthman, dunia Islam terus tidak tenteram. Fitnah makin banyak. Berbagai cerita ditokok tambah. Dari cerita politik Saidina ‘Uthman sehingga berlarutan isu Perang Jamal, Siffin, pembunuhan Saidina Hussain dan pelbagai lagi. Buku-buku sejarah mencatatkan pelbagai perkara yang bercampur aduk antara satu sama lain. Cerita-cerita bercanggahan antara satu sama lain. Ada riwayat pro-syiah dan ada yang pro-sunni. Kesemuanya bergantung kepada perawi (narrator).



Jika dia fanatik syiah seperti Abu Mikhnaf dan Hisyam bin Saib al-Kalbi maka buruk ‘Uthman, Mu’awiyah dan lain-lain. Kitab al-Umam wa al-Muluk atau dikenali dengan Tarikh al-Tabari yang menjadi pegangan sejarah Sunnah dan Syiah itu meriwayat pelbagai riwayat yang bercanggahan antara satu sama lain. Ini kerana, al-Imam al-Tabari (w. 310) mencatatkan apa sahaja yang sampai kepadanya; tanpa mengambil kira samada sahih ataupun palsu. Ini kerana beliau membiarkan agar para pembacanya menilai berdasarkan sanad-sanad yang dikemukakan dan membuat pembandingan sendiri. Ini disebut sendiri oleh al-Tabari dalam mukadimahnya:



“Apa yang terkandung di dalam kitabku ini tentang sebahagian kisah orang yang terdahulu; antara berita tersebut ada yang menyebabkan pembacanya merasa pelik atau pendengarnya merasa jelik. Ini kerana dia tidak dapat menerimanya sebagai sesuatu yang benar atau sesuatu yang hakikat. Maka hendaklah dia mengetahui bahawa berita-berita tersebut bukan datang daripadaku, tetapi ia datang daripada orang yang menyampaikannya kepadaku. Aku telah meriwayatkannya seperti yang disampaikan kepadaku”.(Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, 1/8).



Kita semua tidak menyaksikan apa yang sebenarnya berlaku. Demikian juga al-Tabari. Hanya catatan dalam pelbagai rupa yang ada. Membaca sejarah Islam memerlukan pengetahuan tentang disiplinnya. Maka kita hendaklah mematuhi arahan al-Quran: (maksudnya)



“Wahai orang-orang yang beriman! Sekiranya datang kepada kamu orang yang fasik membawa sesuatu berita maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan kamu itu“.(Surah al-Hujarat: 6).



Justeru Ahlus Sunnah mengambil pendirian yang berbeza dalam isu sejarah ini dengan Syiah. Kata al-Imam Ibn Taimiyyah (w. 728):



“Ahlus Sunnah wal Jama’ah wa al-Jama’ah berlepas diri daripada sikap golongan al-Rafidah (syiah) yang membenci dan mencerca para sahabat. Mereka juga berlepas diri daripada sikap golongan al-Nasibah yang menyakiti Ahl al-Bayt dengan perkataan dan perbuatan mereka. Ahlus Sunnah wal Jama’ah mengambil sikap mendiamkan diri tentang pertelingkahan yang berlaku antara para sahabat. Mereka mengatakan bahawa kisah-kisah yang diriwayatkan tentang keburukan para sahabat, antaranya adalah dusta atau ia sengaja ditokok tambah atau dikurangkan atau diubah daripada ceritanya yang asal“ (Ibn Taymiyyah, Al-’Aqidah al-Wasattiyyah, hlm. 201).



Atas kedukaan sejarah yang ditokok-tambah itu, atau direka berdasarkan keperluan politik itu, dibina pula berbagai doktrin dan dogma agama yang lain sehingga Syiah akhirnya lahir menjadi satu mazhab yang besar yang akan mewarisi dendam sejarah dari zaman ke zaman. Saya pernah menulis sebuah buku berjudul Pertelingkahan Para Sahabat: Antara Ketulenen Fakta dan Pembohongan Sejarah. Persoalan ini telah saya jelaskan dengan lebih terperinci.







Apapun, hari ini Syiah telah wujud. Mereka adalah warisan sejarah silam. Tangisan dan amarah yang tidak bersudahan. Hanya atas cerita lama, mereka meriwayatkan sengsara. Soal sejauh manakah ketulenan cerita bukan lagi persoalan. Namun bagi kita, sikap yang adil adalah berdialog dengan mereka. Mereka umat Islam dan ada kelebihan tersendiri. Mereka mazhab yang lahir dari isu politik, maka mereka sangat mahir berpolitik. Bagi kita, menghukum tanpa berhujah adalah sikap yang tidak adil. Berhujah tanpa sudi mendengar hujah orang lain, adalah keras kepala. Ahlus Sunnah sederhana dalam segala hal.

Sunday, March 20, 2011

JEMPUTAN : Muslim Unity Dialogue Series "The State of Islamic World"

Muslim Unity Dialogue Series
"The State of Islamic World
"

Pada : 23 March, 2011
Tempat: Banquet 1 & 3, Lanson Place, Jalan Ampang Hilir, Kuala Lumpur.
Yuran : Percuma
Masa: 9.00 - 11.30 pagi

Panelist
Assoc Prof Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar (UIA)
Assoc Prof Dr Said Bouheraoua (International Shariah Research Academy for Islamic Finance)
Assoc. Prof. Dr Mohamed Azam Mohamed Adil (UITM)

Pendaftaran melalui email ke info@islamicpeace.org.uk.

Friday, March 11, 2011

JEMPUTAN : Program Gerakan Subuh - 20 Mac 2011

gerakan


Program Gerakan Subuh

(Solat Solat Subuh Berjemaah di Masjid)
Mari Kita Bina Ummah Melalui Solat Subuh Berjemaah
20 Mac 2011 (Ahad)
4.00-7.30 pagi
Masjid Salahuddin Al-Ayubbi, Taman Melati, Setapak KL

Pengisian:
- Qiyamullaill Perdana
- Zikir Munajat
- Solat Subuh Berjemaah
- Kuliah Subuh Khas Oleh Tn Hj Mohd Azmi Abd Hamid (Presiden TERAS)

SEMUA DIJEMPUT HADIR

Maklumat Lanjut : 013-671 4932

SILA HEBAHKAN

Monday, February 14, 2011

SALAM MAULIDUR RASUL


Majlis Bacaan Yassin & Tahlil sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang 2011/1432H
 
Majlis Bacaan Yassin & Tahlil akan diadakan di Masjid Negeri Pulau Pinang sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang 2011/1432H.

Majlis akan diadakan pada:-

Tarikh : 14 Februari 2011 (Isnin)
Masa : 7.00 malam
Tempat : Masjid Negeri, Pulau Pinang

Semua Muslimim dan Muslimat dijemput hadir.

Majlis Perarakan sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang 2011/1432H.
 
Perarakan sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang 2011/1432H akan diadakan pada:-

Tarikh : 15 Februari 2011 (Selasa)
Masa : 7.00 pagi
Tempat : Padang Kota Lama

Akan disertai oleh 4000 peserta perbarisan yang terdiri daripada Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, Badan-badan berkanun, Badan-badan bukan kerajaan, Swasta dan lain-lain.

Majlis Perhimpunan Ummah sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang 2011/1432H
 
Majlis Perhimpunan Ummah sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang 2011/1432H akan diadakan pada :-

Tarikh : 15 Februari 2011
Masa : 9.30 pagi
Tempat : Dewan Sri Pinang

Semua Muslimim dan Muslimat dijemput hadir.

Turut disertakan dengan Persembahan Nasyid dari Jabatan Penjara Pulau Pinang (Johan Festival Nasyid Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2010)

Ceramah Khas oleh Y.Bhg. Syeikh Fisol bin Haji Omar (Jabatan Agama Islam Negeri Kedah)

Sambut perayaan Kristian perlekeh akidah, pegangan Muslim


PANEL Kajian Akidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memutuskan amalan menyambut Hari Valentine adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Amalan merayakan Valentine Day tidak pernah dianjurkan Islam. Roh perayaan itu mempunyai unsur Kristian, amalannya bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan Islam.”

Hakikatnya larangan bagi meraikan sambutan Hari Valentine berpaksikan kepada dua alasan utama iaitu pertama, ia dilarang nas syarak dan kedua ia mampu mendatangkan kesan kehancuran yang besar kepada agama, bangsa dan negara.

Menurut Rizki Ridyasmara dalam bukunya, Valentine Day, Natal, Happy New Year, April Mop, Hallowen: So What?, sejarawan masih tiada kata sepakat berkenaan peristiwa apa sebenarnya menjadikan Hari Valentine terus diingati.

Bagaimanapun, berdasarkan sejarah, ada empat pendapat popular berkaitan Hari Valentine.

Pendapat pertama mengaitkan Hari Valentine dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia iaitu upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari.

Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta (Queen of Feverish Love) bernama Juno Februata. Pada hari itu pemuda Rom memilih nama gadis yang menjadi pilihan mereka lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak, kemudian mereka mencabut nama daripada kotak terbabit secara rawak.

Nama gadis yang tertera akan menjadi pasangan dan objek hiburan seksnya selama setahun. Pada 15 Februari, mereka meminta perlindungan Dewa Lupercalia daripada gangguan serigala dengan menyembelih anjing dan kambing. Kemudian mereka memilih dua pemuda Rom dianggap paling gagah untuk menyapukan darah binatang itu ke badan mereka lalu mencucinya pula dengan susu. Selepas itu diadakan perarakan besar-besaran diketuai dua pemuda itu yang memukul orang ramai di laluan dengan kulit binatang dan wanita berebut untuk menerima pukulan kerana beranggapan ia akan menambahkan kesuburan mereka.

Pendapat kedua mengaitkannya dengan kematian paderi St Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Peristiwa ini yang sering dikaitkan dengan kisah pengorbanan besar demi keagungan cintanya terhadap agama sementara versi lain, cinta kepada seorang gadis.

Pendapat ketiga, ia dirayakan bersempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol. St Valentine ialah individu yang memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam itu.

Disebabkan sumbangan itu, St Valentine dianggap kekasih rakyat dan 14 Februari 1492 adalah tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol yang dianggap pada hari itu hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.

Pendapat keempat pula berdasarkan apa yang dinukilkan Geoffrey Chaucer, penyair Inggeris dalam puisinya. Sambutan Hari Valentine bersempena dengan sifat burung yang musim mengawannya pada 14 Februari.

Berdasarkan versi itu, jelaslah tiada hubungan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dengan budaya kita mahupun agama bagi umat Islam. Malahan sudah terang lagi bersuluh mempunyai kaitan dalam memperlekehkan akidah Islam dan orang Islam sendiri.



Cetek ilmu punca persoal larangan rai Hari Kekasih

Pengharaman sambutan supaya Islam ada identiti tersendiri, berbeza dengan umat lain

MENZAHIRKAN kasih sayang kepada kekasih perlu ada batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang antara dua jantina berbeza tidak boleh hanya dengan janji manis di bibir tetapi perlu diikat akad yang kukuh bagi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi.

Ikatan perkahwinan bukan bertujuan menyusahkan hubungan sesama manusia kerana matlamatnya menjadikan masyarakat stabil, aman dan harmoni. Keindahan menzahirkan kasih sayang itulah dianjurkan Islam dan disemai setiap hari tanpa perlu menunggu satu hari dalam setahun.

Apatah lagi, jika jelas kesan daripada sambutan itu menjurus kepada perkara tidak baik apabila ada pihak melakukan perbuatan menyalahi syarak semata-mata untuk membuktikan apa yang dikatakan ‘kasih sayang’.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata amat menyedihkan kerana wujud golongan yang tertekan apabila pihak berkuasa melarang sambutan Hari Kekasih atau Hari Valentine. Katanya, disebabkan cetek maklumat dan ingin memprotes tanpa mendengar penjelasan mengenai perkara berkenaan menyebabkan peringatan supaya masyarakat Islam tidak meraikan sambutan itu ibarat mencurah air ke daun keladi.

“Seperti yang dinyatakan Ibn Khaldun, kita ibarat masyarakat madani yang bergaul dengan semua orang dan mengimport budaya luar untuk diaplikasi dalam cara hidup kita. Perkara ini berlaku disebabkan cetek ilmu dan apabila diberi penjelasan, tak mahu dengar atau fahami. Kesedihan ini meruntun hati kerana berbuih mulut menasihat tetapi tidak memberi kesan,” katanya pada program Bicarawara dan Pelancaran Kempen Awasi Jerat Valentine’s Day 2011 di Putrajaya.

Hadir sama pada seminar bertujuan menyedarkan umat Islam hakikat sebenar Hari Valentine yang memang jauh daripada ajaran serta budaya Islam ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM, Saimah Mokhtar.

Wan Mohamad berkata, Hari Valentine tidak boleh disamakan dengan hari sambutan diraikan secara sejagat seperti Hari Ibu, Hari Bapa atau Hari Kanak-Kanak Sedunia kerana ia tidak dikaitkan dengan peristiwa khusus dan pengaruh agama. Oleh itu katanya, niat tidak menghalalkan cara dan demi menjaga akidah umat Islam adalah lebih baik jika tarikh 14 Februari dinafikan sebagai sambutan Hari Kekasih dan diganti konsep kasih sayang sepanjang masa yang dianjurkan Islam.

“Mungkin ada kata mereka tidak berniat meraikan Valentine tetapi persoalannya kenapa perlu memilih 14 Februari. Oleh itu, niat tidak menghalalkan cara. Kenapa tidak pilih 31 Ogos atau hari lain? Inilah yang ingin kita fahamkan masyarakat terutama remaja kerana untuk menunjukkan kasih sayang tidak perlu hari khusus, pilihlah hari lain untuk tunjukkan kasih sayang tetapi bukan 14 Februari, jika benar mereka kata tiada niat terjebak dengan sambutan Hari Valentine,” katanya.

Katanya, usaha JAKIM memberi pengetahuan, kesedaran serta bimbingan supaya masyarakat tidak terbabit dengan keghairahan menyambut Hari Valentine mungkin tidak mampu menghalang sambutannya, tetapi perjuangan membersihkan amalan bukan Islami perlu diteruskan. Beliau berkata, amalan dan kebiasaan di sebalik pemberian hadiah atau kata-kata pada Hari Valentine mampu menghancurkan akidah Islam yang suci kerana setiap perbuatan mempunyai simbolik serta tersirat sejuta cerita bercanggah dengan pegangan agama dan adat.

Pengharaman serta larangan bukan kerana ingin menghalang keseronokan atau dengki dengan trend zaman moden tetapi berlandaskan apa yang dinyatakan dalam al-Quran dan sunnah yang menjadi panduan umat manusia bagi mengecapi keindahan hidup di dunia dan akhirat.

Islam sangat prihatin serta menginginkan umatnya mempunyai identiti tersendiri dan berbeza dengan umat lain. Penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak tidak boleh mencampur aduk akidah serta amalan ibadat agama lain.

Firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat dan secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (Surah al-Kafirun, ayat 1-6)

Hukum Islam jelas melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa mengamalkan perkara yang bukan daripada amalan kami, maka ia akan ditolak.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Petikan : BHarian 12/02/2011 dan BHarian 12/02/2011